Dikemas kini 4 Oktober 2026

Dasar privasi

Newlife membantu pasangan menyediakan dokumen nikah mengikut negeri. Untuk itu kami perlu mengetahui beberapa perkara tentang anda. Dasar ini menerangkan data yang kami kumpul, sebab kami memerlukannya, dan hak anda di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) serta pindaannya.

1. Siapa kami

Perkhidmatan ini dikendalikan oleh Newlife (“kami”). Untuk sebarang soalan tentang data peribadi anda, hubungi kami di hello@projectnewlife.my.

2. Data yang kami kumpul

Maklumat akaun: alamat email dan kata laluan. Kata laluan disimpan dalam bentuk yang disulitkan; kami tidak dapat melihatnya.

Maklumat untuk menjana checklist: negeri dan tarikh akad, negeri permohonan, daerah, kariah, lokasi alamat dalam MyKad (sama ada sama atau berbeza daerah/negeri), status perkahwinan, kewarganegaraan, jenis wali, status kursus praperkahwinan, dan nama. Jika berkaitan: tarikh lahir, status saudara baru, dan sama ada anda anggota polis atau tentera.

Kemajuan checklist: perkara yang anda tandakan siap.

Jemput pasangan (pilihan): jika anda menjemput pasangan, atau menyertai checklist pasangan anda, anda berdua boleh melihat dan mengemas kini checklist yang sama, dan melihat alamat email satu sama lain. Anda boleh memutuskan sambungan ini bila-bila masa di halaman Jemput pasangan.

Maklumat majlis (pilihan): tarikh dan tempat majlis resepsi jika anda mengisinya.

Laporan dan pertanyaan: apa sahaja yang anda tulis kepada kami melalui halaman Bantuan.

Data penggunaan: halaman yang dilawati, klik dan tatal skrin, jenis peranti dan pelayar, serta alamat IP, dikumpul oleh penyedia hos dan alat analitik (lihat bahagian 5).

3. Data peribadi sensitif

Sebahagian maklumat di atas — khususnya yang berkaitan dengan agama (contohnya status saudara baru) — ialah data peribadi sensitif di bawah PDPA. Kami hanya memprosesnya dengan persetujuan nyata anda semasa mendaftar, dan hanya untuk menyenaraikan dokumen yang betul untuk anda.

4. Tujuan kami menggunakan data anda

Kami menggunakan data anda untuk:

  • menjana dan mengemas kini checklist dokumen nikah mengikut negeri dan keadaan anda;
  • menyimpan kemajuan anda supaya boleh disambung bila-bila masa;
  • menghantar email penting seperti pengesahan akaun dan penetapan semula kata laluan;
  • menjawab laporan dan pertanyaan anda;
  • memahami bahagian laman yang mengelirukan supaya kami boleh memperbaikinya;
  • memastikan keselamatan perkhidmatan dan mencegah penyalahgunaan.

Kami tidak menjual data peribadi anda dan tidak menggunakannya untuk iklan pihak ketiga.

5. Pihak yang membantu kami

Kami menggunakan penyedia perkhidmatan berikut untuk mengendalikan laman ini. Mereka memproses data bagi pihak kami sahaja:

  • Supabase — pangkalan data dan log masuk akaun.
  • Netlify — hos laman web.
  • Resend — penghantaran email akaun.
  • Microsoft Clarity — analitik penggunaan (peta haba dan rakaman sesi tanpa nama). Semua teks dan jawapan yang anda taip disembunyikan daripada rakaman.
  • Meta (Facebook/Instagram) — mengukur keberkesanan iklan kami melalui Meta Pixel, contohnya berapa ramai yang mendaftar selepas melihat iklan. Kami hanya menghantar jenis tindakan (seperti “mendaftar”), bukan jawapan checklist, nama atau email anda.

Penyedia ini mungkin menyimpan data di pelayan di luar Malaysia. Kami memilih penyedia yang mempunyai perlindungan keselamatan yang munasabah untuk data yang dipindahkan.

Jika pada masa hadapan anda memilih untuk meminta sebut harga daripada vendor melalui Newlife, maklumat yang anda isi dalam permintaan itu akan dikongsi dengan vendor yang anda pilih sahaja.

6. Kuki dan storan pelayar

Kami menggunakan kuki yang diperlukan untuk memastikan anda kekal log masuk. Sebelum mendaftar, jawapan soalan checklist disimpan dalam pelayar anda (storan setempat) supaya tidak hilang; ia dihantar kepada kami hanya apabila anda mendaftar. Microsoft Clarity menggunakan kuki untuk analitik penggunaan, dan Meta Pixel menggunakan kuki untuk mengukur iklan. Anda boleh mengawal iklan yang dipaparkan kepada anda melalui tetapan “Pilihan iklan” dalam akaun Facebook atau Instagram anda.

7. Tempoh simpanan

Kami menyimpan data akaun anda selagi akaun itu aktif. Jika anda meminta akaun dipadam, kami akan memadamkan data peribadi anda daripada sistem utama dalam tempoh yang munasabah, kecuali jika undang-undang mewajibkan kami menyimpannya lebih lama.

8. Hak anda

Di bawah PDPA, anda berhak untuk:

  • meminta akses kepada data peribadi anda dan mendapatkan salinannya;
  • meminta pembetulan data yang tidak tepat — kebanyakannya boleh dikemas kini sendiri di halaman “Kemas kini butiran”;
  • menarik balik persetujuan dan meminta akaun anda dipadam;
  • meminta data anda dipindahkan dalam format yang boleh dibaca mesin.

Hantar permintaan ke hello@projectnewlife.my daripada alamat email akaun anda. Kami akan menjawab dalam tempoh yang ditetapkan undang-undang.

9. Keselamatan

Data dihantar melalui sambungan yang disulitkan (HTTPS) dan disimpan dengan kawalan akses supaya setiap pengguna hanya boleh melihat data mereka sendiri. Tiada sistem yang selamat sepenuhnya; jika berlaku pelanggaran data yang menjejaskan anda, kami akan memaklumkan anda dan pihak berkuasa seperti yang dikehendaki undang-undang.

10. Umur pengguna

Perkhidmatan ini ditujukan kepada pengguna berumur 18 tahun ke atas. Pemohon bawah umur hendaklah menggunakannya bersama ibu bapa atau penjaga.

11. Perubahan kepada dasar ini

Kami mungkin mengemas kini dasar ini dari semasa ke semasa. Tarikh kemas kini terkini dipaparkan di bahagian atas halaman. Perubahan penting akan dimaklumkan melalui email atau notis di laman ini.